mutakhir

Maut dirempuh treler

Oleh Hasbi Sidek

LELAKI warga Bangladesh yang sedang mengangkat kon di tapak penyelenggaraan di Kilometer 50.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi di Bentong, maut, selepas dilanggar treler, tengah hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan berada di belakang lori yang dinaikinya sambil mengangkat kon di bahu jalan, sebelum treler yang datang dari arah belakang merempuh kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, mangsa mengalami parah pada badan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan, iaitu lori syarikat penyelenggaraan jalan dan treler.

“Ketika kejadian, pemandu lori warga tempatan bersama kelindannya berada di dalam lori.

“Dua pekerja warga Bangladesh, termasuk mangsa, berada di bahagian belakang lori dan sedang mengangkat kon di bahu jalan ketika kerja penyelenggaraan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, treler yang datang dari arah belakang melanggar bahagian kanan belakang lori berkenaan dan turut merempuh mangsa seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun.

“Treler berkenaan hilang kawalan ke kiri dan ke kanan jalan sebelum melanggar penghadang jalan lalu termasuk ke dalam semak.

“Akibat rempuhan itu, mangsa parah pada bahagian badan dan kaki kanan sebelum dibawa ke Hospital Bentong.

“Ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan, mangsa disahkan meningga dunia,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 7:46pm
d