mutakhir

Ganjaran insurans kepada pemandu berhemah

Oleh BERNAMA

PERBINCANGAN antara Kementerian Pengangkutan dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengenai cadangan memberi diskaun bayaran premium insurans kereta kepada pemandu berhemah kini di fasa terakhir, kata Menterinya, Anthony Loke.

Beliau berkata, cadangan ganjaran itu berbentuk pengurangan premium insurans kepada pemandu yang mempunyai rekod bersih daripada saman atau kesalahan jalan raya.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan PIAM dan beberapa syarikat insurans serta bekerjasama dengan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan polis trafik bagi mendapatkan data pemandu.

“Katakan pemandu itu tiada saman tertangguh dalam tempoh setahun, mereka tidak pernah melakukan kesalahan jalan raya, kita boleh berikan ganjaran berbentuk mata (point), mungkin berbentuk insentif dari segi pengurangan premium insurans.

“Tetapi perkara ini belum muktamad. Sekarang sudah berada pada tahap perbincangan terakhir,” katanya selepas merasmikan pelancaran kempen ‘Bosch Automotive Aftermarket ‘Drive For Life’ For Safer Cars and Safer Roads’ di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Terdahulu, dalam ucapannya, Loke berkata, indeks kemalangan jalan raya pada 2017 menunjukkan 533,875 kemalangan dilaporkan dengan kematian 6,740 orang.

Beliau berkata, walaupun perangkaan menunjukkan penurunan enam peratus jumlah kematian berbanding 7,152 orang pada 2016 namun ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 9:41pm
d