mutakhir

[UPDATE] Pendaki Malaysia meninggal dunia

Oleh BERNAMA

PENDAKI warga Malaysia yang terkandas dua malam di Gunung Annapurna, Nepal sebelum diselamatkan minggu lalu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Singapura (NUH), Singapura hari ini.

Menurut portal berita, TODAY, Dr Chin Wui Kin, 49, pakar bius di Hospital Besar Ng Teng Fong di negara itu pada mulanya dirawat di sebuah hospital di Kathmandu, Nepal sebelum diterbangkan ke Singapura hujung minggu lalu untuk rawatan di Hospital NUH.

Portal berita dalam talian itu melaporkan isteri Dr Chin, Thanaporn Lorchirachoonkul enggan ditemubual dan memohon privasi.

Laporan itu menyebut upacara sembahyang dan memberi penghormatan terakhir diadakan di sebuah tokong Buddha di Bukit Merah.

Dr Chin terkandas berhampiran Gunung Annapurna selepas terpisah dengan kumpulan 30 pendaki lain ketika menuruni gunung itu Selasa lalu.

Mangsa berjaya mendaki gunung setinggi 8,100 meter itu namun gagal kembali ke kem berhampiran yang terletak kira-kira satu kilometer dari puncak.

Bagaimanapun, sebuah helikopter penyelamat mengesan Dr Chin melambai dari cerun salji pada awal Khamis sebelum diselamatkan dan diterbangkan ke ibu negara Nepal itu untuk mendapat rawatan.

Sebelum ini, sebuah stesen televisyen melaporkan doktor yang memberi rawatan awal kepada mangsa dalam Facebooknya (FB) berkata, selain degupan jantung dan suhu badan rendah, Dr Chin juga mengalami hipotermia teruk dan mempunyai kesan gigitan fros di bahagian tangan dan kaki.

Berita berkaitan

Pendaki Malaysia dilaporkan kritikal

Pendaki Malaysia berjaya diselamatkan

Pendaki kita selamat

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 10:50pm
d