mutakhir

Nelayan Pahang ceroboh perairan Terengganu

Oleh Zaid Salim

MUSIM sotong bukan saja menarik nelayan Vietnam melakukan pencerobohan malah turut dilakukan nelayan tempatan dari negeri lain.

Ini terbukti apabila sebuah bot nelayan Pahang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu ketika menangkap ikan di lokasi 23 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, 7 malam Selasa lalu.

Bot Kelas C dinaiki lima nelayan tempatan termasuk tekong berusia antara 35 hingga 53 tahun itu dikesan melakukan kesalahan kerana menangkap ikan di luar zon dibenarkan.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, susulan penahanan itu, pihaknya merampas hasil laut antaranya sotong, pelbagai jenis ikan

yang dianggarkan hampir 1.5 tan dan 2,000 liter diesel bernilai kira-kira RM2 juta.

Katanya, kehadiran bot berkenaan di kawasan itu disedari anggota yang melakukan rondaan dengan kapal KM Nusa dalam Ops Iman.

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan adalah bot nelayan tempatan dari Pahang.

“Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, sotong yang banyak di perairan negeri itu dipercayai menjadi punca banyak bot tempatan dari luar negeri ini selain pencerobohan oleh bot nelayan Vietnam.

Muhammad Suffi berkata, bot itu dibawa ke jeti Maritim Malaysia Terengganu untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (b) 1985 Akta Perikanan.

Sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 11:21pm
d