mutakhir

Lelaki curi kucing Parsi diberkas

Oleh Junaidi Ladjana

CUBAAN tiga lelaki mencuri dua kucing baka Parsi gagal apabila seorang daripada mereka ditahan pemilik haiwan berkenaan di kediamannya di Kampung Ganang, Kepayan, di Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pemilik haiwan terbabit dikatakan melihat dua lelaki memasuki garaj rumahnya lalu mengambil sangkar yang terdapat dua kucing baka Parsi, kira-kira 4 pagi.

“Susulan itu, pengadu bergegas mengejar suspek terbabit dan berjaya menahan seorang suspek yang sedang memasukkan sangkar kucing ke dalam kereta.

“Seorang lagi suspek melarikan diri bersama kereta dipandu rakannya yang sedang menunggu di luar rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek lelaki yang ditahan berusia 30 tahun dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan dua lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Dua kucing Parsi itu gagal dilarikan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Difahamkan, nilai kucing baka Parsi itu dianggarkan RM1,000.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 12:18am
d