mutakhir

Gagal ceroboh

Oleh Junaidi Ladjana

CUBAAN seorang juragan membawa masuk enam penumpang warga Filipina menggunakan sebuah bot melalui selatan Sungai Merah di perairan Felda Sahabat, Lahad Datu, gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), malam tadi.

Warga asing terbabit yang berusia antara satu hingga 60 tahun ditahan peronda APMM pada 9 malam selepas bot dinaiki mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan tanpa sebarang nombor pendaftaran.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil pemeriksaan mendapati, ada seorang juragan serta enam penumpang, termasuk dua kanak-kanak di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap juragan dan penumpang, semuanya warga Filipina dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, siasatan mendapati bot berkenaan cuba menyusup masuk ke daerah ini dari Pulau Sibutu, Filipina.

“Bot itu difahamkan bertolak dari Pulau Sibutu kira-kira 6 petang dan berada di laut selama tiga jam sebelum ditahan bot peronda APMM.

“Bot dan semua penumpang yang ditahan dan dibawa ke Pos APMM Felda Sahabat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, APMM akan terus menjalankan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi APMM Lahad Datu di talian 089-885727 atau talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 1:33am
d