mutakhir

Tipu dua mangsa

Oleh Garret Dawum

KUCHING: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan penipuan pekerjaan di Kemboja, Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Ghafar Abd Jamal, 25, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Nuruhuda Mohd Yusof dan Majistret Mohd Syukri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu Ahmad Zakwan Mohammed Yunus, 26, di sebuah hotel di sini pada 22 November lalu.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan penipuan sama terhadap Brenda Welltinnie Winston, 21, di Taman Sri Makmur di sini, September lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin tempatan dan mengarahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai bagi pertuduhan pertama.

Mahkamah turut menetapkan 29 Mei ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan dalam kalangan ahli keluarga dan dikehendaki melaporkan diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran serta pengurusan kes ditetapkan pada 13 Jun ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Musa dan Nadratun Naim manakala tertuduh diwakili peguam Fadzillah Osman.

Terdahulu, Mohd Ghafar yang juga suspek keenam kes penipuan pekerjaan di Kemboja membabitkan 47 warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sejurus tiba dari Pontianak, Indonesia, Khamis lalu.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 6:00am
d