mutakhir

Geng Panjang tumpas

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

EMPAT sekawan yang aktif melakukan kegiatan samun dan ragut di sekitar daerah Kuantan sejak Mac lalu tumpas selepas semua mereka ditahan 23 April lalu.

Suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 37 tahun dikatakan terbabit dalam sembilan kes samun dan ragut sejak awal Mac lalu termasuk mencederakan seorang lelaki menggunakan parang sebelum melarikan telefon bimbit dan dompet mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, bertindak hasil risikan dan maklumat dijalankan pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pihaknya berjaya menahan seorang suspek lelaki yang menunggang motosikal di hadapan restoran di Kuanta pada 3 Petang.

Beliau berkata, hasil soal siasat dijalankan ke atas suspek membawa kepada serbuan di bilik di Jalan Bukit Ubi, Kuantan dan seorang lelaki dan wanita ditahan.

“Dalam serbuan itu pihak kita menemui pelbagai telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan samun yang belum sempat dijual serta peralatan dan senjata dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu.

“Beberapa jam kemudian polis melakukan serbuan di rumah di Kampung Tengah, di sini, dan menahan seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai ‘panjang’,” katanya dalam sidang media di IPD Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, pihaknya turut merampas beberapa barangan seperti 12 telefon bimbit, motosikal, tablet, parang, kapak dan pisau dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Modus operandi geng ini adalah menyasarkan lelaki dan wanita berjalan berseorangan di kawasan Indera Mahkota 8 dan pondok menunggu bas di jalan masuk ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, Kemunting.

“Mereka akan bertindak ganas dengan menyerang mangsa menggunakan parang dan kapak sekiranya mangsa melawan atau ada orang ramai yang cuba membantu,” katanya.

Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun dan ragut di daerah ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan masih terdapat kumpulan lain yang masih aktif menjalankan kegiatan sama di daerah ini dan sedang memburu mereka.

Mohamad Noor berkata, semua suspek direman hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 1:56pm
d