mutakhir

Awatla hangpa lagu tu?

Oleh Zuhainy Zulkiffli

JIJIK dan tidak bertimbang rasa, demikian gambaran sikap segelintir penduduk di Blok Lapan, Flat Sun Moon City, Paya Terubong, Georgetown yang mengabaikan kebersihan.

Bukan sahaja sampah malah ada segelintir penduduk yang tergamak mencampakkan najis manusia dari tingkat atas flat dan jatuh di atas kereta penghuni.

Sikap itu juga tular di laman sosial sejak semalam dan menerima kecaman daripada warganet yang mempersoalkan mengenai kesedaran sivik dalam kalangan penghuni flat terbabit.

Selain tabiat membuang sampah dari tingkat atas, penghuni juga dikecam kerana meletakkan kenderaan sesuka hati hingga menghalang laluan dan kenderaan penduduk lain.

Seorang penduduk,Lim Yeang @ Limah Yen, 64, berkata perbuatan membuang sampah dari tingkat atas sudah lama berlaku di situ, malah mana-mana flat.

Namun perbuatan melempar najis manusia amat keterlaluan dan menunjukkan masyarakat sudah tidak ada perasaan malu dan kesedaran sivik.

Katanya, tidak ada laporan lif rosak sejak beberapa hari lalu dan tiada alasan bagi mereka membuang sampah dengan cara itu.

“Saya juga pernah nyaris hilang nyawa apabila seketul bata berukuran kira-kira 30 sentimeter melayang dari tingkat atas dan jatuh di hadapan saya.

“Memang tergamam, keadaan saya yang sukar berjalan akibat strok juga menyebabkan saya tidak dapat mengelak,” katanya yang sudah hampir 20 tahun tinggal di flat berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di flat berkenaan mendapati persekitaran terutama di kawasan parkir sudah dibersihkan oleh pekerja am seawal 7 pagi.

Difahamkan, parkir di kawasan itu akan sesak menjelang petang menyebabkan ada penduduk yang terpaksa menyekat kenderaan lain.

Sementara itu, jurucakap Perbadanan Pengurusan Sun Moon City, ketika ditemui berkata, sikap penduduk berkenaan semakin berkurangan sejak 10 tahun kebelakangan ini selepas pihak berkenaan bertindak memasang kira-kira 35 kamera litar tertutup di lima blok flat terbabit.

“Sekiranya badan pengurusan mendapat aduan mengenai kebersihan, kami akan terus menampal notis atau berhubung terus dengan penduduk.

“Kami juga mengambil inisiatif mengadakan kapit roda bagi kenderaan yang menghalang kenderaan lain di kawasan parkir, bertujuan memberi peringatan supaya penduduk bertimbang rasa sesama mereka,” katanya.

Flat yang berusia lebih 20 tahun itu mempunyai 702 unit rumah menempatkan lebih 3,000 penduduk.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 4:37pm
d