mutakhir

Dah boleh balik esok

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENDUDUK pangsapuri Blok F Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bermula 8 pagi esok.

Perkara itu disahkan Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof yang memaklumkan kebenaran berkenaan diberikan selepas keadaan struktur pangsapuri disahkan selamat untuk didiami.

Menurutnya, walaupun dibenarkan pulang, kerja pembaikan struktur yang retak terutamanya di bahagian dalam rumah penduduk dan kawasan tangga akan diteruskan.

“Kerja pembaikan keretakan akan tetap diteruskan sehingga pulih sepenuhnya dan penduduk diharap dapat memberikan kerjasama kerana kontraktor yang dilantik perlu terus membaiki keretakan sehingga siap sepenuhnya.

“Masih ada pembaikan terutama untuk beberapa unit yang mengalami keretakan serius diteruskan. Struktur tangga juga akan diperkukuhkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Fairuz berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menjalankan pemantauan berterusan selama enam bulan dengan bantuan agensi kerajaan berkaitan.

PKNS melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) untuk memasang pengesan dan alat kajian bagi memastikan sama ada mendapan serta pergerakan tanah benar-benar aktif atau sebaliknya.

Tinjauan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini mendapati penduduk masih menerima bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Semua penghuni diarahkan berpindah selepas pemeriksaan MPAJ, PKNS dan Bahagian Struktur Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jumaat lalu terdapat keretakan serius yang boleh memberi risiko jika perpindahan tidak dilakukan segera.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 5:24pm
d