mutakhir

'Ambe anok Ganu'

Oleh Suraya Roslan

“SAYE dok kisoh (tidak kisah) orang nak kata apa, memang payoh lidoh (payah lidah) nok tinggal kepok (keropok) lekor,” kata pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Hariff Salleh, 31.

Video bapa kepada dua cahaya mata itu ketika ditemubual wartawan sukan antarabangsa dalam bahasa Inggeris tular di media sosial mencuit hati netizen.

Mohd Hariff, memenangi pusingan kedua Le Tour de Langkawi (LTdL), April lalu menjawab soalan wartawan dalam bahasa Inggeris namun, pertuturannya masih pekat loghat Terengganu.

Anak jati Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu itu berkata, dia tidak sangka video berkenaan tular di media sosial.

“Saya tidak malu malah bangga boleh menjawab soalan wartawan dengan betul. Apa yang penting saya menjawab soalan ditanya dengan baik.

“Ramai kawan memberi sokongan, tetapi bila tengok video temuramah itu, saya sendiri nak tergelak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan mengenai temuramah itu Mohd Hariff berkata, dia disapa oleh wartawan berkenaan ketika peringkat ketiga LTdL di Muar, Johor, 8 April lalu.

Dia memberitahu, wartawan berkenaan memintanya untuk memberi komen dan bercakap dalam bahasa Inggeris kerana video itu adalah untuk siaran saluran antarabangsa.

“Saya kabo (beritahu) doh (dah) bahasa Inggeris saya lain macam, sebutan saya kelakor (kelakar) sikit, tapi dia cakap tak apa redah saja.

“Kemudian saya dengan yakin menjawab soalan dalam bahasa Inggeris saya dok (tidak) malu pun malah bangga sebab saya memahami setiap soalan ditanya,” katanya.

Mohd Hariff, pernah menetap di Australia selama lima tahun bermula pada tahun 2000 berkata, jurulatihnya adalah seorang ‘Mat Salleh’ dan faham setiap butiran pertuturannya.

“Orang Mat Salleh dok pernoh gelok (tidak pernah gelak) dengar saya cakap Inggeris, mereka faham dengan baik, begitu juga rakan-rakan.

“Tetapi saya baca setiap komeng (komen), semua bagi semangat untuk saya dan apa boleh saya cakap terima kasih semua,” katanya.

Menurutnya, setiap kali temuramah diadakan oleh wartawan dalam bahasa Melayu, dia akan berterus terang untuk bercakap dalam loghat Terengganu.

“Lidoh saya kerah doh (lidah saya sudah keras), susoh nok cakap Kuala Lumpur,” katanya dalam nada bergurau.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 6:05pm
d