mutakhir

Bekalan Ramadan mencukupi

Oleh Zanariah Abd Mutalib

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganggarkan 1,793 lembu dan 518,680 ayam diperlukan bagi bekalan bahan mentah sepanjang Ramadan ini.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, pihaknya turut menganggarkan 184,674 kelapa diperlukan di seluruh negara sepanjang bulan puasa ini.

Justeru, beliau meminta peserta pasar tani di bawah FAMA sentiasa memastikan bekalan tiga komoditi utama itu mencukupi untuk jualan.

“Dari segi bekalan, saya memberi jaminan bekalan bagi tiga komoditi utama itu serta sayuran mencukupi sepanjang Ramadan malah untuk Aidilfitri juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Jimat Belanja Pra Ramadan@Pasar Tani Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Putrajaya.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Sementara itu, Ishak berkata, 174 pasar tani FAMA di seluruh negara akan beroperasi sebagai Pasar Tani Pra Ramadan selama tiga hari bermula hari ini sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan pada harga lebih murah.

“Pengguna dapat berjimat antara lima hingga 20 peratus di pasar tani berbanding harga pasaran malah ada barangan dijual dengan perbezaan harga sehingga 50 peratus.

“Kita harap dengan konsep bawa bekalan terus dari ladang ini, barangan terus dijual pada harga lebih murah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, 755 pasar tani beroperasi di bawah FAMA membabitkan 31,045 peserta dengan nilai jualan RM231 juta.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 8:03pm
d