mutakhir

Tiga kadar zakat fitrah di Perak

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PERAK menetapkan tiga pilihan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang digunakan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Mohd Haidi Sulaiman berkata, tiga pilihan itu ditetapkan selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memperakui pandangan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak ke-216.

Menurutnya, kadar minima yang perlu dibayar setiap individu berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah di negeri itu adalah RM7.

“Bagaimanapun digalakkan pembayar zakat fitrah untuk membayar melebihi kadar berkenaan mengikut beras yang dimakan atas dasar ‘tatawwu’.

“Kadar bayaran RM14 bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya.

“RM21 bagi pembayar menggunakan beras basmathi, beras Jepun, beras merah dan seumpamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Haidi berkata, bagi memudahkan pembayar zakat, MAIPk juga sudah melantik 1,897 amil untuk mengutip zakat fitrah bagi tahun ini.

“Semua amil ini akan bertugas di semua masjid serta surau di negeri ini.

“Kaunter sementara dan kaunter bergerak juga akan dibuka di beberapa lokasi tumpuan ramai sepanjang Ramadan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Sultan Nazrin bertitah untuk tidak membenarkan imam dari luar negara menjadi imam solat sunat Tarawih di masjid serta surau di Perak.

“Sebagai menjunjung titah Tuanku, Jabatan Mufti Perak mengesyorkan supaya masjid dan surau di negeri ini menggunakan khidmat pelajar tahfiz tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 8:35pm
d