mutakhir

Bawa balik RM29 bilion wang 1MDB

Oleh Hairulazim Mahmud

KERAJAAN menjangkakan memperoleh kembali dana AS$7 bilion (RM29 bilion) yang didakwa wang 1Malaysian Development Bhd (1MDB) yang disalah guna dari pelbagai negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mahu mendapatkan semula wang berkenaan seperti diumumkan Amerika Syarikat dan Singapura.

“Tapi saya tidak dapat pastikan berapa lama tempoh kita akan dapat balik semua wang itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur hari ini.

Media melaporkan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Singapura bersedia memulangkan dana RM930 juta yang didakwa disalah guna dari 1MDB.

Bloomberg yang memetik sumber melaporkan, kerajaan AS akan memulangkan AS$200 juta (RM828 juta) termasuk AS$140 juta (RM580 juta) hasil jualan saham Hotel Park Lane, New York dan AS$60 juta (RM248 juta) iaitu bayaran penyelesaian oleh pengeluar filem Hollywood.

Pemindahan itu dijadual dibuat minggu hadapan.

Media itu melaporkan Singapura pula dijangka memulangkan S$35 juta (RM106 juta) yang diserahkan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dan keluarganya yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Semalam, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkan ‘penjaga’ permata yang dikaitkan dengan 1MDB, Evelyn Goh yang juga ibu ahli perniagaan kontroversi Jho Low, bersetuju memulangkannya kepada AS.

Low melalui peguamnya bagaimanapun berkata, pemulangan itu tidak bermaksud pihaknya mengaku melakukan kesalahan.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 9:49pm
d