mutakhir

Gadai nyawa

Oleh Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: Segelintir pengemis yang menjual tisu sanggup berdepan risiko mati katak apabila menjalankan kegiatan itu di tengah jalan raya berhampiran lampu isyarat di sekitar bandar raya.

Penduduk, Ahmad Baktiar, 34, berkata, dia terserempak dengan wanita warga asing berjalan di sebelah kenderaannya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Aeon Tebrau City, Taman Desa Tebrau di sini, kelmarin.

Katanya, dia terkilan dengan perbuatan wanita berusia 40-an itu yang mendekati setiap kenderaan dan menawarkan tisu sedangkan dia berdepan risiko parah atau maut dilanggar kenderaan.

“Ia membahayakan dirinya kerana laluan itu sibuk malah turut digunakan lori dan bas.

“Kini, Johor Bahru umpama di negara mundur yang terlalu padat dengan penduduk hingga ada yang sanggup bertarung nyawa di atas jalan raya untuk meminta sedekah.

“Tindakan wanita terbabit membahayakan pengguna jalan raya lain yang cuba mengelak daripada melanggarnya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, golongan terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Orang Papa 1977.

“Kebiasaannya mereka menjual tisu dari kedai ke kedai dan menjadi alasan untuk mengemis kerana barangan dijual tidak ditetapkan harga serta tidak memulangkan wang baki.

“Bagaimanapun, kejadian ini (jual tisu di tengah jalan) jarang berlaku dan kami belum menerima aduan membabitkan wanita itu.

“Kami akan melakukan pemantauan dan siasatan di kawasan sekitar sebelum mencari kaedah terbaik untuk mengambil tindakan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, orang ramai dinasihati supaya tidak membeli atau memberi wang kepada peminta sedekah kerana ia bagaikan menggalakkan mereka melakukan perbuatan itu.

“Adalah lebih baik beramal kepada mereka yang benar-benar memerlukan sama ada menerusi jabatan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengelak ditipu,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 8:01am
d