mutakhir

Dua aset pantau tompokan minyak

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JABATAN Laut Wilayah Selatan (Johor) menggerakkan dua aset miliknya bagi mengesan tompokan minyak dianggarkan sebanyak kira-kira 60 tan di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, sejak petang kelmarin.

Penolong Pegawai Laut, Roslee Ibrahim berkata, kedua-dua aset membabitkan Bot Al Tair dan Bot Al Nilam itu digerakkan sejak semalam bagi melaksanakan Operasi Oil Spill Response Balau 2 (OSR BALAU 2).

Katanya, Bot Al Tair bersama lapan kru berlepas dari Pengkalan Sungai Pulai pada 10 pagi semalam, manakala Bot Al Nilam bersama enam kru berlepas dari Pengkalan Tanjung Pengelih pada 12 tengah hari.

“Kami turut memohon Peralatan Melawan Tumpahan Minyak (OSRE) tambahan dari Unit Pengurusan Bencana Ibu Pejabat Laut (UPB IPL) membabitkan alat penyerap minyak ‘absorbent boom’ dan bahan semburan kimia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemantauan pada hari pertama membabitkan kawasan seluas 30 batu nautika menggunakan kedua-dua aset terbabit.

“Fokus pemantauan membabitkan perairan Desaru dan Teluk Penawar dengan jarak 1.5 hingga tiga batu nautika, selain pemantauan pergi dan balik membabitkan Pulau Lima ke Tanjung Balau,” katanya.

Menurutnya, sehingga 5.15 petang semalam, tiada sebarang tompokan ditemui di kedua-dua kawasan pemantauan.

Katanya, cuaca cerah dengan jarak penglihatan antara tiga hingga empat batu nautika, ombak sedikit beralun dan tidak lebih 15 knot.

“Kedua-dua aset menangguhkan operasi pada 6 petang semalam dan berlabuh di perairan Tanjung Balau di Kota Tinggi.

“Operasi pemantauan pada hari kedua, hari ini disambung 8 pagi ini,” katanya.

Hari ini, Harian Metro melaporkan Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor) menemui satu lagi tompokan minyak dianggarkan sebanyak kira-kira 60 tan di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, sejak petang kelmarin.

Tompokan baharu itu diperoleh menerusi imej satelit yang disalurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki teknologi itu di United Kingdom.

Imej itu mengesan tumpahan minyak dianggarkan sebanyak kira-kira 60 tan dengan kedudukannya kira-kira tiga batu nautika dari Tanjung Balau di sini.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 12:17pm
d