mutakhir

287 terima sijil Pengakap Raja

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan bintang, pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak 2019 kepada 357 penerima di Ipoh, hari ini.

Mendahului senarai penerima adalah, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merangkap Yang Dipertua PPM Perak yang baharu dengan dianugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Kedua Perak (BSP-ll).

BSP-ll yang juga anugerah kedua tertinggi PPM hanya disampaikan kepada tokoh-tokoh terbilang dan penganugerahannya yang terhad menjadikannya eksklusif serta penerima hanya dalam kalangan pemimpin negeri, negara dan kepimpinan pengakap yang banyak berjasa.

Penerima lain adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman, merangkap Timbalan Yang Dipertua PPM Perak; Ahli Majlis PPM Perak, Datuk Dr Ivan Hoe Wat Sing dan Pengerusi Majlis PPM Kedah, Datuk Ahmad Zaini Japar.

Ketiga-tiga pemimpin itu, menerima Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua Perak yang juga anugerah keempat tertinggi PPM dan disampaikan hanya kepada tokoh yang memberi perkhidmatan serta bakti terpuji kepada pergerakan pengakap.

Anugerah Sijil Pengakap Raja pula disampaikan kepada 287 penerima membabitkan ahli Pengakap Remaja pada 2017 dan 2018 yang menamatkan skima lencana di dalam pergerakan pengakap sekolah.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Nazrin di majlis penganugerahan yang diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh, disambut Ketua Pengakap Negara Tan Sri Dr Mohd Shafie Mohd Salleh dan diiringi Ahmad Faizal.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Ketua Pesuruhjaya PPM Perak, Ahmad Azam Shah Abd Majid; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mej Jen Prof Datuk Dr Zin Bidin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Ahmad Azam Shah dalam ucapannya, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dan sentiasa mengambil berat keperluan PPM Perak.

“Mulai 27 Februari lalu, impian PPM Perak untuk memiliki aset bangunan sendiri termakbul apabila mendapat ruang pejabat dua tingkat di Pusat Komersial Jelapang, di sini yang juga beroperasi sebagai pusat pentadbiran PPM Perak.

“Harapan kedua kami adalah untuk memiliki kem latihan dan kemahiran pengakap negeri dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak Menteri Besar,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 1:26pm
d