mutakhir

Ajal di kebun

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PENJAGA kebun ditemui mati di kawasan kebun di Kampung Baru, Jalan Tapah di Tapah, malam tadi, dalam keadaan mukanya tersemban di atas tandan kelapa sawit.

Mayat Azirun Abdul Mohamed, 54, yang menetap di Kampung Tersusun, Jalan Tapah di sini ditemui oleh orang awam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Pemeriksaan fizikal dapati tiada kesan darah dan luka-luka pada tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan jenayah.

“Namun terdapat satu luka di muka mangsa di bahagian kiri kerana semasa dijumpai mukanya berada di atas tandan kelapa sawit,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan mendapati mangsa bekerja sebagai penjaga kebun di Kampung Baru dan mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan polis dan kes diklasifikasikan mati mengejut pada masa ini sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 1:40pm
d