mutakhir

Menteri Kesihatan tak kisah digelar 'Mr 3 metres' [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“SAYA tidak kisah digelar ‘Mr 3 metres’ kerana kuat kuasa larangan merokok di premis makanan,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly berkata, beliau tidak kisah dipanggil dengan gelaran apa sekali pun kerana hasratnya dan Kementerian Kesihatan adalah mahu melindungi keselamatan rakyat yang terancam kerana asap rokok.

Menurutnya, lanjutan tempoh pendidikan bagi larangan merokok di premis makanan juga bukan tindakan ‘U-turn’ sebaliknya mahu memberi masa yang cukup kepada perokok kerana mereka juga ada hak.

“Hak itu bagaimana tidak sampai menjejaskan kesihatan orang lain,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan 2019 di Pantai Bagan Lalang, Sepang, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, pada hakikatnya, kementerian bukanlah tidak sayang kepada golongan perokok dan mereka ini bukan dianggap sebagai musuh.

Dr Dzulkefly berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan perokok mendapat bantuan untuk berhenti merokok termasuk perkhidmatan klinik berhenti merokok di hospital dan klinik kerajaan serta swasta.

“Panduan mengenai bantuan berhenti merokok boleh didapati dengan hanya melayari laman sesawang www.jomquit.gov.my dan juga bantuan berhenti merokok melalui Infoline Berhenti Merokok di talian 03-88834400,” katanya.

Katanya, pihak kementerian merasakan sudah tiba masanya untuk memperkasa golongan bukan perokok supaya mereka mampu mengatakan tidak kepada asap rokok basi.

Menurutnya, terdapat 85 peratus penduduk Malaysia yang tidak merokok dan mereka berupaya untuk membantu pihak kementerian menjayakan kempen ini.

“Saya sedia maklum bahawa tidak semua kita mampu menegur perokok yang merokok di sekeliling kita. Namun dengan cara teguran yang betul, saya percaya perokok akan tergerak hati untuk berhenti merokok,” katanya.

Katanya, sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan 2019 ini, kementerian melancarkan kempen Speak Out yang akan berlangsung selama lima tahun sehingga 2025.

Dr Dzulkefly berkata, kempen ini akan mendedahkan dan mendidik masyarakat untuk membantu perokok berhenti merokok.

Setakat ini, sebanyak 25,791 notis amaran dikeluarkan kepada perokok yang merokok di premis makanan membabitkan 200,887 penguatkuasaan pendidikan dibuat seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 90, 708 premis sudah diperiksa setakat ini.

Manakala, pengeluaran kompaun kepada mereka yang ingkar larangan merokok akan diteruskan seperti biasa kecuali premis makan yang dilanjutkan ke akhir Disember ini.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 2:14pm
d