mutakhir

Sembunyi 308,000 batang rokok dalam pikap

Oleh Norsyazwani Nasri

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri merampas sejumlah 308,000 batang rokok membabitkan nilai duti RM225,523 yang disorok dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda Khamis lalu.

Rampasan susulan serbuan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Miri ke atas sebuah kediaman di Bandar Baru Permyjaya sekali gus menemukan pelbagai jenis jenama rokok dipercayai belum lulus kastam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kediaman berkenaan diserbu pada 9 pagi hasil risikan dan maklumat daripada orang awam.

“Kediaman berkenaan disyaki menjadi lokasi penyimpanan rokok seludup pelbagai jenama. Nilai rampasan membabitkan RM27,160 dengan anggaran jumlah duti terbabit bernilai RM225,523.50.

“Rokok terbabit disimpan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di ruang parkir hadapan kediaman ini untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Halimah berkata, bagaimanapun seorang suspek berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan, pesalah akan di denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana jumlah lebih besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah

“Orang awam boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat JKDM Sarawak 082-472133 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 2:29pm
d