mutakhir

Kejut sahur guna tong

Oleh Khalid Latip

PENDUDUK Kampung Seberang Sarikei, di Sarikei, kembali menghidupkan aktiviti beduk sahur yang menjadi ‘penggera’ pada Ramadan ini untuk bangun bersahur.

Wakil penduduk, Allif Omar Yunus berkata, bagaimanapun, aktiviti beduk yang dilakukan berbeza iaitu dengan memukul tong, sambil berarak keliling kampung agar warisan budaya kekal terpelihara agar tidak hilang ditelan zaman.

“Kemunculan alat moden seperti telefon bimbit yang dijadikan sebagai pengunci jam menyebabkan anak muda semakin melupai aktiviti beduk untuk menggalakkan umat Islam bangun bersahur.

“Jadi, kami mahu mengembalikan aktiviti beduk sepanjang Ramadan ini kerana ia juga mampu mengeratkan silaturrahim sesama penduduk,” katanya ketika ditemui, di Sarikei, hari ini.

Allif berkata, penduduk kampung menggunakan tong bagi menggantikan beduk berikutan kesukaran mendapatkan peralatan itu.

“Selain tong, kami juga akan menggunakan peralatan seperti kompang dan gendang untuk menggamatkan suasana agar umat Islam bangun bersahur. Dalam bersahur ada keberkatannya,” katanya.

Beliau berkata, program sukarela berkenaan membabitkan kerjasama antara usahawan belia Sarikei dan ahli jawatankuasa Masjid Ar-Rahmah.

“Paluan tong, kompang dan gendang akan mula memecah kesunyian bermula 3 pagi setiap pagi sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 3:02pm
d