mutakhir

Pukul bapa tak bagi wang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

AKIBAT mengalami masalah kewangan, seorang penganggur tergamak mencekik dan memukul bapanya di kediaman mereka di Taman Tunku Putra, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, suspek lelaki berusia 34 tahun itu meminta wang daripada bapanya berusia 72 tahun sebelum berlaku perselisihan faham.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, suspek yang tidak berpuas hati tiba-tiba memukul kepala bapanya sebelum mencekik leher mangsa.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu suspek yang mengamuk kemudian memecahkan kerusi dan merosakkan motosikal milik mangsa.

“Ahli keluarga yang bimbang dengan kejadian itu kemudian menghubungi polis yang tiba tidak lama kemudian dan menahan suspek.

“Mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kulim dan siasatan awal mendapati punca kejadian akibat suspek tertekan tiada wang,” katanya hari ini.

Safuan berkata, mangsa juga masih bekerja kerana terpaksa menampung keluarganya.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 3:27pm
d