mutakhir

Wan Kelly meninggal dunia ketika ujian suara

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PEMAIN gitar bass, Ally Rahman @ Wan Kelly Abdul Rahman meninggal dunia ketika menjalani sesi latihan dan ujian suara di sebuah taman tema di Ipoh hari ini.

Difahamkan, Wan Kelly rebah 3 petang sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

Rakannya, Izzad Izzuddin atau lebih dikenali sebagai Jad Lobo berkata, arwah secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum pihak produksi membawanya ke sebuah hospital swasta.

“Arwah secara tiba-tiba rebah ketika melakukan ‘sound check’ 3 petang dan kami sepatutnya mengadakan persembahan malam ini di taman tema itu.

“Sebaik tiba di hospital, arwah disahkan sudah meninggal dunia dan jenazahnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Jad, isteri serta anak arwah dalam perjalanan ke Ipoh dan jenazahnya akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur untuk dikebumikan.

Wan Kelly adalah pemain bass undangan atau ‘sessionist’ yang pernah beraksi bersama penyanyi lagenda seperti Datuk M Nasir, Amy Search, Datuk Hattan dan Ella.

Arwah akan mengadakan persembahan pada Majlis Makan Malam Amal Kasih Perak - Persatuan Amal Isteri Harapan Perak yang dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malam ini.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 8:25pm
d