mutakhir

30 murid dijangkiti Influenza B

Oleh Iskandar Shah Mohamed

JABATAN Kesihatan Negeri Selangor mendapati 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pantai Sepang Putra, Sepang dijangkiti wabak Influenza B setakat ini.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, pihaknya menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Sepang bagaimanapun masih sedang mengaktifkan pengesanan kes itu.

“Sehingga kini, 30 orang dijangkiti wabak itu dan ia merangkumi 674 pelajar di sekolah terbabit.

“Setiap kelas seorang atau tiga orang dijangkiti namun tiada murid Tahun Enam dijangkiti setakat ini,” katanya.

Khalid berkata, keadaan masih dikawal dengan rapi oleh pihaknya.

“Pendidikan kesihatan dan cara mencegah turut dimaklumkan kepada guru dan ibu bapa,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang mengarahkan tiada aktiviti perhimpunan dilakukan di sekolah itu dalam tempoh

terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dipetik berkata, langkah itu susulan laporan 18 murid sekolah berkenaan dijangkiti Influenza B.

KPM turut meminta ibu bapa atau penjaga memberi laporan segera kepada pihak sekolah jika murid di bawah jagaan mereka terkena wabak itu.

Murid terutama yang mengalami masalah kesihatan seperti selsema dan batuk diminta memakai penutup hidung dan mulut agar tidak berjangkit dengan murid lain.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 9:58pm
d