mutakhir

Maut selepas hantar cucu tuisyen

Oleh Nur Saliawati Salberi

LELAKI warga emas maut selepas kereta dipandunya melanggar tembok pagar batu di Jalan Mawar, Taman Peringgit Jaya, Melaka hari ini.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika mangsa berusia 78 tahun sedang mengundurkan kereta Perodua Myvi dipandunya.

Difahamkan, sebelum kejadian warga emas itu menghantar dua cucunya berusia 13 dan 14 tahun ke kelas tuisyen di sebuah rumah di taman berkenaan.

Saksi kejadian dikenali Gadafi, 34, berkata, dia yang ketika itu berada di ruang tamu rumahnya hairan sebaik ternampak Perodua Myvi tiba-tiba mengundur dalam keadaan laju ke arah kediamannya.

“Kejadian berlaku dengan pantas, saya ketika itu sedang minum di ruang tamu dan ternampak Perodua Myvi itu mengundur.

“Tiba-tiba saja terdengar dentuman kuat dan tembok pagar batu serta pagar terbalik,” katanya.

Menurutnya, dia yang bergegas keluar mendapati pemandu sudah tidak sedarkan diri sebelum seorang daripada jiran menghubungi ambulans.

“Mujurlah adik saya keluar agak awal, kalau tidak sudah pasti kereta yang biasa diletakkan di hadapan pagar turut rosak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Ketika kejadian mangsa dipercayai dalam keadaan kurang sihat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2019 @ 11:50pm
d