mutakhir

Kayuhan silaturahim

Oleh Hasbi Sidek

LEBIH 600 individu termasuk pegawai dan anggota polis menyertai Night Ride Against Crime Sempena Peringatan Hari Polis ke-212 di Subang Jaya hari ini.

Kayuhan sejauh 20 kilometer itu turut menarik penyertaan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, program itu bagi mempromosikan kempen cegah jenayah bersama komuniti Subang Jaya.

“Aktiviti berbasikal semakin digemari masyarakat sebagai sukan untuk gaya hidup sihat. Kami mengambil inisiatif ini untuk mendekati masyarakat melalui sukan ini.

“Orang ramai boleh bekerjasama dengan polis dalam menyalurkan maklumat dan mencegah jenayah,” katanya.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zulkurnain Che Ali dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman.

Zulkurnain yang mewakili MPSJ selaku penganjur bersama berkata, kadar jenayah menjadi indikator bagi kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

“Justeru, kita memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan kegiatan jenayah berkurangan.

“Program seperti ini bukan saja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 12:47am
d