mutakhir

Zakat Agrobank bantu penuntut UMP

Oleh Shahrinnahar Latib

SERAMAI 35 penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan menerusi Inisiatif Wang Saku diperkenalkan melalui program MyGift UMP bernilai RM17,500 sumbangan zakat Agrobank.

Ia adalah antara usaha meringankan beban dalam kalangan penuntut UMP yang kurang berkemampuan serta memerlukan bantuan.

Sumbangan disampaikan Pengarah Agrobank Wilayah Negeri Pahang, Safaruddin Samsuddin kepada Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim di Dewan Bankuet UMP di Pekan, semalam.

Daing Nasir berkata, pihak UMP berharap hasil sumbangan ini dapat menampung perbelanjaan dan meringankan beban penuntut ini sepanjang pengajian di UMP.

“UMP mengharapkan sokongan semua pihak termasuk syarikat korporat dalam meningkatkan amal jariah menerusi wakaf pendidikan dan endowmen melalui dana MyGift UMP.

“Projek lain yang dilaksanakan bagi menyokong usaha ini termasuklah Food For All, Gerobok Rezeki #BPACare, UMP Campus Pantry dan MyCafe- Komuniti,” katanya.

Dalam majlis itu juga, Daing Nasir menyerahkan sumbangan orang ramai menerusi Tabung MyGift UMP sebanyak RM140,000 kepada Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMP, bagi tujuan penyediaan Iftar kepada mahasiswa UMP sepanjang Ramadan nanti.

UMP juga bakal menganjurkan Festival Ramadan yang merangkumi beberapa program seperti pertandingan video pendek, solat Tarawih bersama imam jemputan dan memasak bubur lambuk di Pusat Komuniti Desa Kuala Pahang dan Masjid UMP Gambang.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 10:50am
d