mutakhir

Patah kaki akibat melawan arus

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PADAH melawan arus kerana mahu mengelakkan sekatan jalan raya seorang penunggang motosikal patah kedua-dua belah kaki selepas bertembung dengan kenderaan polis di Kilometer 21.1 Lebuhraya Link Kedua arah timur, Iskandar Puteri, 2.04 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa, Lim Jia Jun, 19, menunggang Yamaha LC dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pejabat pertanyaan Trafik Iskandar Puteri menerima panggilan mengenai kemalangan membabitkan kenderaan polis jenis Proton Inspira dan motosikal di lebuh raya itu.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan polis sedang melakukan rondaan penguatkuasaan trafik dari arah Gelang Patah menghala ke Taman Perling, bertembung motosikal ditunggang secara melawan arus.

“Anggota polis berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kejadian berlaku di lebuh raya empat lorong sehala,” katanya.

Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 11:41am
d