mutakhir

Polis akan panggil penganjur

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS akan memanggil penganjur Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan yang diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semalam dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, ia susulan notis pemakluman diberikan penganjur kepada polis tidak lengkap sebagaimana dikehendaki mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Katanya, maklumat tidak lengkap berkenaan membabitkan notis kebenaran daripada pemilik tempat yang menjadi lokasi perhimpunan diadakan.

“Salah satu syarat bagi mengadakan sebarang perhimpunan sebagaimana tertakluk dalam APA 2012 adalah penganjur perlu memberi notis makluman kepada polis bersama dokumen kebenaran daripada pemilik lokasi.

“Namun, dokumen berkenaan (kebenaran daripada pemilik tempat) tiada dan notis diberikan itu tidak lengkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, buat masa ini tiada sebarang laporan diterima terhadap perhimpunan berkenaan atau mana-mana individu yang berucap ketika perhimpunan.

Bagaimanapun beliau berkata, polis akan meniti semula kandungan ucapanyang disampaikan bagi memastikan ia tidak melanggar undang-undang negara ini.

“Buat masa ini polis memang tidak terima sebarang laporang sama ada terhadap penganjur, peserta atau individu yang berucap dalam perhimpunan semalam.

“Bagaimanapun, polis akan meniti semula kandungan ucapan disampaikan individu berkenaan bagi memastikan ia tidak menyalahi undang-undang negara ini,” katanya.

Semalam, kira-kira 3,500 peserta menyertai perhimpuban yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang diselia UMNO dan PAS.

Himpunan bermula pada jam 2 petang apabila peserta berkumpul di Masjid Jamek, Jalan Tun Perak sebelum bergerak ke hadapan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Perhimpunan disertai Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Peguambela yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim Mohd Kamaruzaman, A Wahab berakhir 3.30 petang akibat hujan lebat.

Berita berkaitan:

  • Tamat awal sebab hujan lebat [METROTV]
  • Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 2:26pm
    d