mutakhir

Rampas rokok jenama popular China

Oleh Nurul Amanina Suhaini

CUBAAN sindiket penyeludupan melambakkan rokok jenama popular dari China digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan terhadap lori tiga tan ditahan di tepi jalan Bendahara 9, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru, pada 11.35 malam.

Paul berkata, bertindak atas maklumat risikan berkaitan penyeludupan rokok pihaknya melancarkan Op Landai Khas.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya merampas rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM645,000.

“Kami menemui 128 kotak besar warna coklat mengandungi 64,000 karton rokok putih tidak bercukai kastam di bahagian belakang lori.

“Bahan tembakau itu dipercayai untuk pasaran sekitar bandar raya ini dan Taman Ungku Tun Aminah.

“Hasil siasatan, kami percaya rokok berkenaan diseludup dari negara jiran menggunakan jalan darat untuk diedarkan kepada pengguna sasar dipercayai warganegara China bekerja sekitar negeri ini,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, hari ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan modus operandi digunakan mereka.

Jelasnya siasatan dijalankan untuk mengetahui bagaimana sindiket boleh melepasi pemeriksaan kastam di pelabuhan.

Dia memberitahu turut ditahan dalam pemeriksaan itu adalah seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang juga pemandu lori berkenaan.

Katanya suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Sekotak rokok itu dijual pada harga RM7 hingga RM10. Kami komited dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan rokok dan semua jenis jenayah di perairan negara termasuk jenayah rentas sempadan.

“Operasi berterusan akan dilaksanakan PPM di seluruh perairan dan pesisir pantai Malaysia sejajar dasar kerajaan mahu membanteras pengaliran hasil negara secara haram,” katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang kepada PPM Bukit Aman di talian 03-226 632 25 atau Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor di talian 07-237 22 22.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 5:01pm
d