mutakhir

`Setiap hari saya mengalirkan air mata...'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

“DIA sepatutnya meneruskan pengajian semester kedua di universiti tetapi tertangguh selepas disahkan menghidap kanser tahap empat,” kata Amir Shariffuddin Mohamed Shalan, 50, bapa kepada penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menghidap kanser buah pinggang.

Fildati Amalina, 19, yang menuntut di kampus Jasin, Melaka itu dikesan menghidap kanser berkenaan pada Oktober 2017 selepas mengalami kesakitan tidak mampu meluruskan badannya.

Amir berkata, anak keempat daripada lapan beradik yang mesra dikenali sebagai Kak Lin itu memberitahu tidak mampu bangun daripada katilnya ketika mahu menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Menyangka kesakitan itu hanya penyakit apendiks, saya membawa dia ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI), Perak.

“Beberapa bulan kemudian, Kak Lin sekali lagi mengadu kesakitan dan saya membawanya ke Hospital Selayang.

“Pada waktu itu, saya terkejut apabila doktor mengesahkan dia menghidap kanser buah pinggang.

“Namun, semangat juangnya tinggi dan tidak mudah berputus asa sehingga berjaya menghabiskan peperiksaan itu dengan mendapat keputusan baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru di Sabak Bernam, hari ini.

Menurut penjual air nira itu, walaupun menerima bantuan perubatan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), dia menghadapi kesukaran menampung kos perjalanan ulang-alik ke hospital.

“Buah pinggang kanan Kak Lin terpaksa dibuang kerana sel kanser merosakkan organ itu dan kini merebak ke paru-parunya.

“Setiap hari saya mengalirkan air mata apabila melihat keadaan dia yang tidak berdaya dan terbaring atas katil selain tidak mampu menjamah sebarang makanan kecuali susu,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan mendoakan Kak Lin sembuh walaupun melihatnya bertarung nyawa.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya ditalian 019-2459245 /019-8125249 atau menyalurkannya ke akaun Maybank miliknya, 162094206827.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 5:33pm
d