mutakhir

20 jam 'bertarung' di laut

Oleh Nor Amalina Alias

“SYUKUR, saya dan anak masih diberi peluang menyambut Ramadan tahun ini walaupun kami dilanda ribut ketika di laut malam tadi,” kata Ramli Yusuf, 57.

Tukang rumah itu bersama anaknya, Ramzie, 26, hanyut di laut hampir 20 jam akibat enjin bot rosak sebelum ditemui selamat oleh nelayan dan dibawa pulang ke Pengkalan Kemasin, 2.30 petang hari ini.

Ramli berkata, dia ke laut bersama anaknya bagi mengail ikan kerisi dan mencandat sotong untuk dijual bagi menampung keperluan keluarga, Ramadan ini.

“Saya mula turun ke laut hujung bulan lalu dan semalam (Sabtu) adalah kali keempat saya dan anak mengail. Biasanya kami turun pagi dan pulang petang.

“Malangnya, ketika kejadian petang semalam saya cuba hidupkan enjin namun gagal menyebabkan kami terpaksa bermalam di laut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Daramain, Bachok, hari ini.

Menurutnya, mereka terpaksa berdepan detik cemas apabila hujan dan ribut melanda kawasan mereka bersauh dengan gelombang yang kuat selama sejam bermula 9 malam.

“Ketika itu, saya agak trauma kerana ombak terlalu kuat dan saya serta anak sudah bersiap sedia dengan tiga pelampung yang saya anggap penyelamat terakhir kami,” katanya.

Sementara itu, Ramzie berkata, sepanjang berada di tengah laut mereka makan nasi lemak basi kerana kehabisan bekalan makanan.

“Saya tak dapat fikir apa-apa sebaliknya hanya ingat saya akan mati. Namun syukur pagi tadi kebetulan ada nelayan lalu dan kami diselamatkan mereka,” katanya yang baru menamatkan pengajian perguruan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bagi Isteri Ramli, Hamidah Awang, 48, dia bersyukur kerana suami dan anaknya pulang dalam keadaan selamat yang dianggap keajaiban sebelum menyambut Ramadan esok.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 6:51pm
d