mutakhir

Segera laksanakan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa semua sekolah rendah dan menengah seluruh negara menyegerakan pelaksanaan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga di sekolah masing-masing.

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata, kod etika berkenaan perlu digerakkan bagi menjaga kebajikan semua guru supaya mereka berasa selamat ketika berada di kawasan sekolah.

Menurutnya, sejak arahan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hujung tahun lalu, pihaknya mendapati sambutan di sekolah seluruh negara amat ‘dingin’.

“Ini disebabkan pihak sekolah terlepas pandang mengenai surat siaran yang dikeluarkan oleh KPM dan sejak awal tahun ini atas inisiatif NUTP, hanya 14 sekolah sahaja yang menguatkuasakan Kod Etika Ibu Bapa di sekolah seluruh negara termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang.

“Bagi memastikan kod etika ini dilaksanakan di semua sekolah di seluruh negara, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di setiap negeri, selain pihak sekolah juga harus peka dengan surat siaran yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan majlis Dialog Ibu Bapa dan Pelajar Tingkatan Lima dan Pelancaran Kod Etika Ibu Bapa di SMK Penambang di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Pengerusi NUTP Negeri Kelantan Johari Ahmad dan Pengetua SMK Penambang Omar Ab Rahman.

Aminuddin berkata, setiap sekolah sebenarnya sudah mempunyai peraturan tetapi ia tidak cukup mantap menyebabkan kod etika berkenaan diperlukan sebagai panduan tatacara ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru.

“Kita mula mengerakkan kod etika ini selepas kita dapati berlakunya salah laku atau penganiayaan kepada guru di dalam kawasan sekolah.

“Bagi merangka peraturan ini, kita sudah meneliti serta merujuk kod etika yang sedia ada di tiga buah negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan India sebelum kita mengambil serta menggabungkan elemen yang bersesuaian dengan budaya di Malaysia,”katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 8:43pm
d