mutakhir

Dirogol rakan serumah bapa

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANAK-KANAK perempuan berusia 12 tahun mendakwa menjadi mangsa rogol rakan serumah bapanya di Kangar pada April lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohd berkata, kali pertama mangsa didakwa dirogol lelaki berusia 37 tahun itu pada awal April lalu kira-kira 12.30 tengah malam ketika mangsa sedang tidur di biliknya.

Menurutnya, suspek dikatakan masuk ke biliknya dan mengejutkannya lalu mengajaknya ke bilik air sebelum merogolnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

“Kali kedua suspek merogol mangsa adalah beberapa minggu selepas kejadian yang pertama.

“Suspek didakwa mengejut mangsa tidur kira-kira 1 pagi dan membawanya ke kontena kosong yang berada di halaman rumah bapa mangsa sebelum merogolnya.

“Ketika kejadian rogol itu berlaku, bapa mangsa tiada di rumah dan hanya mereka tinggal berdua saja,” katanya.

Menurut Noor Mushar, mangsa takut untuk mengadu kepada kedua ibu bapanya pada peringkat awal kejadian yang menimpanya.

Katanya, berdasarkan maklumat difahamkan bahawa kedua ibu bapa mangsa sudah bercerai dan tinggal berasingan, manakala suspek pula sudah bertahun menetap bersama bapa mangsa.

“Bagaimanapun, atas faktor kebimbangan suspek akan mengulangi perbuatan sama menyebabkan mangsa tampil membuat laporan polis semalam.

“Susulan laporan itu, seorang penganggur ditahan dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Suspek ditahan semalam mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, manakala mangsa kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan laporan perubatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 9:34pm
d