mutakhir

Cuba seludup petrol ke Filipina

Oleh Abdul Rahemang Taiming

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan dua lelaki warga asing menyeludup keluar 1,450 liter petrol berhampiran perairan Pulau Bum-Bum, Semporna, semalam.

Dua suspek itu yang masing-masing menggunakan bot laju dikesan sepasukan anggota bot peronda APMM dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit, kira-kira 8 pagi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, juragan bot masing-masing cuba meloloskan diri dengan bertindak memecut laju bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa minit dikejar, kedua-dua bot laju berkenaan berjaya dipintas sebelum kedua-kedua juragan ditahan.

“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 31 tahun dan 35 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Turut ditemui sebanyak 58 tong yang setiap satunya mengandungi kira-kira 25 liter petrol disyaki cuba diseludup keluar atau dijual di negara jiran, Filipina,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norrimi berkata, tangkapan kali itu adalah kes ketiga direkodkan Zon Maritim Semporna membabitkan aktiviti penyeludupan bahan bakar bagi tahun ini.

“Kedua-dua suspek bersama barang rampasan termasuk bot laju, tiga unit enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM20,000 dibawa ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang sebarang aktiviti dan perlakuan jenayah yang melanggar undang-undang.

“Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduanke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 11:56pm
d