mutakhir

Musnahkan kapal nelayan asing?

Oleh Ibrahim Isa

KERAJAAN tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan tegas dengan memusnahkan kapal nelayan asing yang menceroboh perairan negara ini sebagaimana dilakukan negara jiran, Indonesia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sekiranya tindakan diambil kerajaan ketika ini masih gagal menyelesaikan masalah itu, kaedah itu mungkin akan dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini pihaknya mengambil pendekatan berbeza termasuk menubuhkan pasukan petugas khas oleh kabinet membabitkan pelbagai agensi kerajaan untuk menangani masalah itu.

Beliau berkata, pihaknya perlu mengatasi isu itu dengan berhati-hati dan mengambil tindakan secara berperingkat.

“Buat masa ini, kami menubuhkan pasukan khas membabitkan beberapa kementerian serta agensi, termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Ia membuktikan kita melaksanakan tindakan penguatkuasaan di peringkat tertinggi.

“Kita lihat sudah ada tangkapan dan dengan kapal perang (TLDM) meningkatkan rondaan di perairan kita, terutama di Laut China Selatan, bilangan kes pencerobohan semakin berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertemuan dengan Persatuan Pemborong Ikan Johor Bahru di Johor Bahru, hari ini.

Salahuddin berkata, tindakan tegas memusnahkan kapal nelayan itu hanya akan dipertimbangkan jika langkah menangani isu berkenaan, termasuk penubuhan pasukan petugas khas masih gagal mengatasi masalah pencerobohan.

“Penggabungan kementerian (penubuhan pasukan khas) adalah langkah pertama kerana kementerian saya tidak boleh bergerak sendiri.

“Kalau dengan pembabitan pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Pertahanan ini pun mereka (nelayan asing) nak langgar (ceroboh) juga, saya akan fikirkan sesuatu termasuk tindakan sama (seperti Indonesia meletup dan membakar). Kita akan hapuskan bot mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan pasukan khas diketuai kementeriannya untuk mengatasi isu pencerobohan nelayan, terutama dari Vietnam.

Tiga lagi kementerian terbabit dalam pasukan itu, termasuklah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.

Selain itu, tujuh agensi penguatkuasaan terbabit dalam pasukan itu termasuk Agensi Perguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) TLDM, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Imigresen, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, media melaporkan, Indonesia menenggelamkan puluhan bot nelayan asing yang disita, termasuk dari Vietnam dan Malaysia dalam usaha mencegah aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairannya.

Ia dilakukan selepas seminggu kapal tentera laut negara itu bertembung dengan bot pengawal pantai Vietnam di Laut China Selatan.

Indonesia mula memusnahkan bot nelayan asing yang menceroboh perairan mereka sejak beberapa tahun lalu bagi mengelak pencerobohan hingga menjejaskan sumber makanan laut mereka.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 12:28am
d