mutakhir

Kesan gigitan haiwan pada mayat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

MAYAT lelaki etnik Rohingya berusia 20-an ditemui dalam longkang berdekatan tapak pembinaan Taman Harmoni di Kulim, dengan kesan cedera di badan dipercayai digigit haiwan hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4.15 petang daripada orang awam memberitahu menemui mayat di dalam longkang itu.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat kemudian ke lokasi kejadian sebelum mangsa dikeluarkan dengan bantuan Bomba dan Penyelamat.

“Terdapat kesan cedera di badan dipercayai digigit haiwan.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih tiga hari lalu. Mayat kemungkinan dibawa arus ketika hujan lebat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Safuan berkata, mangsa dipercayai tinggal di rumah yang masih dalam pembinaan di taman sama.

“Tiada senjata ditemui berdekatan mayat dan siasatan lanjut dijalankan.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau meminta mana-mana saksi yang dapat memberi maklumat atau mengenali mangsa menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim atau balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 12:40am
d