mutakhir

Rezeki Ramadan

Oleh Faliq Lajim

“SAYA merancang sambut hari pertama Ramadan dengan hanya memanaskan lauk kenduri yang diberi jiran namun tidak sangka pula menerima bantuan ini,” kata suri rumah, Sri Wahyuni Lubis, 40.

Ibu kepada tujuh anak itu antara penerima bantuan sumbangan RM600 daripada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menerusi program Sinar Kasih Ramadan kali ke-11 tahun ini.

Sri Wahyuni berkata, kehidupannya terumbang ambing sejak suaminya berkahwin lain dan bekerja di Pulau Pinang sebagai buruh binaan.

“Sejak itu, hidup kami ibarat kais pagi makan pagi dengan hanya berlaukkan telur dan kicap setiap hari. Jika tiada telur, nasi bersama kicap sudah cukup buat kami sekeluarga.

“Namun, saya bersyukur kerana jiran dan pihak surau di kawasan ini prihatin kerana kerap membantu dengan menyumbangkan beras serta beberapa barangan dapur lain.

“Bantuan RM600 untuk menyambut puasa ini juga menjadikan Ramadan kami lebih bermakna,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Klang Perdana, Sementa di Klang, hari ini.

Bantuan itu diserahkan Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom.

Sri Wahyuni berkata, dia sememangnya tidak mampu untuk menyewa rumah didiaminya yang kini RM450 sebulan.

“Mujur pemilik rumah memahami keadaan saya dan turut mempunyai talian persaudaraan dengan suami.

“Sebelum menyewa di rumah ini, kami sekeluarga sering kali dihalau berikutan tidak mampu membayar duit sewa rumah,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, wanita itu antara keluarga miskin terpilih yang dikenal pasti untuk menerima sumbangan berkenaan.

“Program ini sudah memasuki tahun ke-11 penganjurannya dan wang disalurkan itu hasil sumbangan orang ramai, sektor kerajaan dan badan korporat untuk diagihkan,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 1:34am
d