mutakhir

'Puasa kami suram'

Oleh Siti Rohana Idris

KEMERIAHAN memasak di dapur dan berbuka kali ini pasti janggal tanpa kehadiran dua ahli keluarga yang dijemput Ilahi.

Pemergian Hasliza Arini Muhamad@Hamid, 34, dalam nahas jalan raya pagi kelmarin amat dirasai kerana keluarga arwah antara yang menghidupkan suasana berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri.

Ibunya Sapinah Hussin, 67, berkata, lazimnya persalinan hari raya disediakan arwah secara bergilir dengan adiknya, Hazwani, 28, yang dipakai sedondon dengan beberapa ahli keluarga lain.

“Tahun ini arwah beritahu adiknya dia mahu memilih biru sebagai warna tema.

“Arwah yang bekerja di Klang, Selangor, biasa pulang ke kampung beberapa hari menjelang Aidilfitri.

“Ketika itu waktu berbuka sangat meriah apabila masing-masing bersemangat menyediakan pelbagai juadah termasuk kuih tradisional. Bagaimanapun, puasa kali ini tentu suram apabila terkenang tragedi duka itu,” katanya di Kampung Kelaboran, di sini, semalam.

Sapinah berkata, dia dimaklumkan arwah Hasliza tidak memberi kata putus sama ada pulang beraya atau tidak kerana suaminya, Mohd Syaril Sulaiman, 44, sukar mendapat cuti.

“Perkara itu dimaklumkan arwah kepada adik-beradiknya. Saya reda kerana takdir anak kelima daripada sembilan beradik itu rupa-rupanya memang tidak pulang selama-lamanya,” katanya.

Dalam nahas membabitkan Perodua Myvi dan Perodua Kancil di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Ruan, Raub, Pahang, jam 2.40 pagi kelmarin, anak bongsu Hasliza, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril, 2, turut terkorban bersama empat lagi mangsa.

Suami Hasliza kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Lipis dan belum sedarkan diri.

Manakala dua anak mereka, Khaliesah Khairina, 7, dan Dhia Afriena, 5, hanya cedera ringan dan dibenarkan pulang, semalam.

Kakak Hasliza, Hasmira, 38, berkata, adik ipar serta dua anak saudaranya itu belum mengetahui ibu dan adik mereka sudah tiada.

“Anak kedua mereka, Dhia Afriena, asyik mencari dan memanggil ibunya ketika di hospital manakala adik ipar belum sedarkan diri.

“Dua beradik itu dibawa pulang ke rumah ini dan kami tidak tahu bagaimana mahu memberitahu mereka ibu dan adik sudah pergi,” katanya sebak.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 6:00am
d