mutakhir

Padah percaya 'Muhamed Rahim'

Oleh Shahrinnahar Latib

PENYAMBUT tamu wanita kempunan wang sebanyak 15,000 AS Dolar (kira-kira RM62,137) yang kononnya hadiah persahabatan selepas berkenalan dengan lelaki kononnya warga Itali bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 26 tahun itu juga mendakwa kerugian RM3,950 selepas diminta membayar cukai bagi urusan penghantaran wang berkenaan.

Beliau berkata, mangsa berkenalan dengan lelaki yang mendakwa warga Itali bernama ‘Muhamed Rahim’ di Instagram 21 April lalu.

“Suspek memberitahu akan menghantar barang kepada mangsa sebagai hadiah perkenalan iaitu telefon bimbit, barang kemas dan juga wang tunai berjumlah 15,000 AS Dolar.

“Pada 26 April lalu, mangsa dihubungi oleh ejen syarikat penghantar barang dan ejen itu meminta bayaran cukai sebanyak RM3,950 bagi barangan yang dipos kepada mangsa itu.

“Mangsa yang percaya dengan arahan ejen syarikat itu membuat pindahan wang sebanyak empat kali ke satu akaun yang diberikan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,950,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, semalam.

Mohd Wazir berkata, suspek meminta mangsa membayar wang sebanyak RM8,500 untuk mengelak namanya disenarai hitam, namun mangsa enggan mengikuti arahan suspek dan merasakan sudah ditipu.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang suri rumah berusia 28 tahun kerugian RM1,300 selepas diperdaya dalam urusan jual beli kereta Proton Waja dalam laman jual beli terkemuka, akhir bulan lalu.

Beliau berkata, kejadian pada 30 April lalu apabila mangsa yang tinggal di Beserah, dekat sini, tertarik dengan iklan penjualan kereta berkenaan sebelum berurusan dengan seorang suspek lelaki.

“Hasil perbincangan dengan suspek, wanita itu bersetuju membeli kereta berkenaan dengan harga RM5,000. Mangsa juga diminta membayar wang deposit sebanyak RM300,” katanya.

Katanya, selepas membayar wang deposit itu menerusi pindahan bank, suspek masih lagi meminta wang daripada mangsa, kononnya ada orang lain turut berminat membeli kereta itu.

“Jumlah keseluruhan bayaran dibuat oleh mangsa sebanyak RM1,300. Namun, selepas semua bayaran dibuat, mangsa gagal menghubungi suspek dan menyedari sudah menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau berkata, kedua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 9:49am
d