mutakhir

Mossy Forest mampu tarik pelancong

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) serius membangun dan memelihara Taman Eko-Rimba Mossy Forest yang terletak di kaki Gunung Irau, Cameron Highlands sebagai produk utama pelancongan Pahang.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, keunikan lumut, cuaca sejuk serta menjadi laluan utama pendaki untuk ke Gunung Irau menjadi kelebihan buat taman eko itu untuk dimajukan secara menyeluruh.

“Tidak mustahil ia bakal menjadi penyumbang utama pendapatan kerajaan negeri melalui melalui sektor pelancongan yang mana kita sudah mengenakan bayaran masuk.

“Pelancong luar negara menjadi penyumbang utama hasil pintu masuk atau fi di Taman Eko-Rimba Mossy Forest yang mula dikenakan bayaran kepada pengunjung awal tahun ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hizamri berkata, pelancong asing perlu membayar RM15 hingga RM30 seorang sementara pelancong tempatan dikenakan caj RM5 hingga RM10 sahaja dan setiap bulan hasil kutipan diterima lebih RM70,000.

Beliau menjangkakan kutipan fi akan terus meningkat sebaik tiba musim pelancong asing berkunjung ke Cameron Highlands terutama kehadiran pelancong barat.

“Dalam tempoh dua bulan (Februari dan Mac) tahun ini, Taman Eko-Rimba Mossy Forest dan Sungai Pauh Cameron Highlands mencatat kutipan hasil tertinggi iaitu RM112,867 dan jumlahnya dijangka terus bertambah secara berperingkat,” katanya.

Katanya, faktor maklum balas positif yang disebarkan orang ramai menerusi mulut ke mulut dan media sosial menjadikan Taman Eko-Rimba Mossy Forest popular dan sering dikunjungi orang ramai yang ingin menghayati keindahan serta merakam gambar.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 10:49am
d