mutakhir

66 tahun pendam peluk Islam [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

SELEPAS 66 tahun memendam impian memeluk Islam, seorang warga emas bersyukur dan teruja menjalani ibadat puasa Ramadan buat kali pertama, hari ini.

Teo Chu Bee, 74, juga gembira kerana dapat berpuasa bersama Muslim yang lain selepas memeluk Islam pada 5 Disember tahun lalu.

Katanya, dia memendam hasrat untuk memeluk Islam sejak berusia lapan tahun apabila tertarik dengan kelas seorang ustaz tentang Islam ketika belajar di sebuah sekolah rendah di Besut, Terengganu.

“Saya tengok kawan-kawan solat dan mengaji al-Quran menyebabkan saya tertarik, tetapi pada masa sama saya takut. Saya hanya diam memandangkan keluarga saya besar dan takut mereka tidak setuju serta marah.

“Alhamdulillah, apabila pindah ke Kelantan, saya terjumpa kawan lama yang bekerja di sebuah bank di Kota Bharu dan dia tahu perasaan saya terhadap Islam.

“Dia sering tanya saya bila mahu masuk Islam dan memaklumkan jangan tunggu lama dan saya kata nanti dulu. Namun pada suatu hari, saya rasa bersedia dan terus mengucap dua kalimah syahadah sambil menangis,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Chu Bee melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah bank iaitu di tempat rakannya bekerja sebelum melakukan perkara sama secara rasmi di Balai Islam Lundang.

Katanya, dia memilih nama Nur Hidayah Bee Teo sebagai nama Islam kerana beranggapan dirinya mendapat hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT.

“Saya sebenarnya tiada masalah nak puasa penuh dan tahun ini lebih semangat sebab dah masuk Islam. Saya juga tak sabar nak ke masjid untuk solat tarawih,” katanya yang tinggal di Panji.

Katanya, dia juga sudah boleh membaca al-Quran dan berjaya menghafal surah al-Fatihah dengan belajar mengaji di Masjid Muhammadi, Kota Bharu seminggu sekali.

Selain itu, wanita ini turut mendapat bimbingan mendalami Islam dengan menyertai Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 11:24am
d