mutakhir

Isteri dibakar suami meninggal dunia

Oleh Nur Saliawati Salberi

SELEPAS tujuh hari bertarung nyawa, wanita yang melecur kira-kira 70 peratus pada bahagian badan akibat dibakar suaminya kerana cemburu, menghembuskan nafas terakhirnya petang semalam.

Wanita berkenaan berusia 39 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia pada 3.30 petang.

“Jika sebelum ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kini kes disiasat mengikut Seksyen 302 akta sama kerana menyebabkan kematian.

“Suspek iaitu suami mangsa masih ditahan reman,” katanya ketika dihubungi.

Harian Metro pada 1 Mei lalu melaporkan, angkara cemburu buta, lelaki sanggup membakar isterinya sehingga badan wanita berkenaan melecur kira-kira 70 peratus dalam kejadian di Taman Krubong Permai, Melaka, pada 29 April lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, suami wanita terbabit membakar mangsa menggunakan minyak petrol yang diambil dari tangki motosikal milik isterinya.

Anak mangsa yang menyedari kejadian kemudian cuba memadam kebakaran dengan menggunakan selimut sebelum membawa ibunya keluar.

Berita berkaitan

Angkara cemburu buta

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 11:48am
d