mutakhir

Ajal nak 'jumpa' arwah datuk, abang

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

HASRAT remaja untuk menziarahi pusara abang serta datuknya menjelang awal Ramadan tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat kemalangan, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa Mohamad Izwan Mohd Sahib, 17, menunggang motosikal seorang diri dan dalam perjalanan menuju ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Banting, di Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kemalangan berlaku di simpang tiga Jalan Bumi Hijau, Kampung Banting.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar simpang secara tiba-tiba menyebabkan motosikal ditunggang lelaki berusia 21 tahun dari jalan utama gagal membrek dan mengakibatkan pelanggaran.

“Kedua-dua mangsa terjatuh bersama motosikal masing-masing dan motosikal milik mangsa terbakar susulan kemalangan itu.

“Mohamad Izwan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, manakala seorang lagi mangsa stabil dan masih menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, kehilangan arwah dirasai rakan karibnya yang menyifatkan Mohamad Izwan adalah individu yang cukup disenangi.

Bagi Muhammad Syuib A Ramlee, 17, dia tidak percaya arwah sudah tiada kerana mereka baru saja bertemu beberapa jam sebelum kemalangan berkenaan.

“Kami berjumpa di majlis hari kelahiran penduduk kampung ini, saya lihat dia tidak menjamah makanan, apabila saya bertanya, dia cuma bercakap sudah kenyang.

“Petang itu, semasa saya sedang bersiap untuk keluar, saya mendapat berita arwah terbabit dalam kemalangan dan sangkaan saya, arwah tidak cedera parah. Namun, Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Katanya, arwah pernah menyatakan ingin bertemu dengan arwah datuk dan abangnya beberapa minggu sebelum kemalangan.

“Ketika itu saya marah arwah cakap benda merepek kerana sebelum ini tidak pernah berkata sedemikian.

Namun, saya reda akan ketentuan Ilahi dan berdoa agar rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 2:18pm
d