mutakhir

Nyawa masih panjang

Oleh Siraj Mohd Zaini

TINDAKAN pantas anggota bomba menyelamatkan lelaki berusia 28 tahun dipercayai ingin membunuh dirinya dengan terjun dari jambatan Pulau Carey, Kuala Langat petang semalam.

Kejadian 2 petang itu disedari penduduk yang kemudian menghubungi pasukan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang, Mohd Hafizie Hassan berkata, sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.48 petang.

Menurutnya, mangsa dipercayai masih hidup selepas terjun daripada jambatan berkenaan namun dihanyutkan arus deras.

“Anggota bomba menggunakan bot nelayan untuk menyelamatkan mangsa ditemui terdampar di tebing sungai.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada anggota paramedik dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli persatuan nelayan Pulau Carey ditamatkan pada 4.05 petang.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 3:14pm
d