mutakhir

Ada pelanggaran peraturan - saksi [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah

TERDAPAT beberapa pelanggaran peraturan berhubung pemberian pinjaman pertama RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd (SRC International).

Amirul Imran Ahmat, 39, yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu kepada Naib Presiden KWAP Allahyarham Ahmad Norhisham Hassan berkata, ia melanggar peraturan bawah Perenggan 5 Polisi dan Garis Panduan KWAP.

“Ini adalah kerana pinjaman kepada SRC sudah melebihi had ekuiti pemegang saham iaitu SRC hanya mempunyai sebanyak RM1 juta tetapi permohonan pinjaman-pinjaman yang sudah diluluskan berjumlah RM4 bilion,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-13 prosiding kes Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi tujuh tuduhan berhubung dana SRC International di Mahkamah Tinggi di sini.

KWAP meluluskan pinjaman kepada SRC International masing-masing RM2 bilion, pada 2011 dan 2012.

Amirul Imran yang kini berkhidmat sebagai

Naib Presiden Pinjaman Tetap SME Bank berkata, terdapat juga pelanggaran peraturan bawah Perenggan 2 Polisi dan Garis Panduan KWAP.

“Di mana jumlah pelaburan KWAP dalam bentuk pinjaman tidak boleh melebihi 10 peratus pelaburan dalam pendapatan tetap domestik,” katanya.

Sementara itu, saksi sama berkata, berdasarkan kedua-dua Perjanjian Pinjaman dan Perjanjian Tambahan untuk Pinjaman Kedua pula, pinjaman KWAP tidak boleh digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat.

“Perjanjian Pinjaman Pertama adalah untuk modal pusingan (working capital) dan aktiviti pelaburan am (general investment) sahaja.

“Perjanjian Pinjaman Kedua adalah untuk aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan pusingan sahaja dan bukan aktiviti pelaburan am seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012,” katanya.

Amirul Imran seterusnya berkata, wang pinjaman kedua daripada KWAP tidak boleh digunakan untuk tujuan pelaburan dalam pengurusan dana atau syarikat pengurusan aset sama ada dalam dan luar negara untuk mengambil keuntungan.

“Bersandarkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 8 Februari2012, wang pinjaman kedua pula adalah untuk pelaburan sektor sumber asli dan modal pusingan seperti dalam Perjanjian Pinjaman Tambahan (Supplemental Facility Agreement) antara KWAP dan SRC bertarikh 9 Ogos 2012,” katanya.

Menurutnya, wang pinjaman pertama boleh digunakan oleh SRC untuk tujuan pelaburan dalam negeri sama ada dalam pengurusan dana atau syarikat pengurusan aset.

“Hasil daripada pelaburan boleh digunakan untuk apa-apa tujuan lain seperti aktiviti program tanggungjawab sosial korporat, jika resolusi Lembaga Pengarah SRC membenarkan sedemikian dengan syarat tiada tunggakan pembayaran kepada KWAP.

“Bagaimanapun, hasil keuntungan daripada pelaburan daripada wang pinjaman pertama tidak direkodkan atau dinyatakan dengan jelas,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 3:27pm
d