mutakhir

Penjualan Equanimity selesai - Peguam Negara

Oleh Murni Wan Omar

PENJUALAN kapal layar mewah, Equanimity selesai sepenuhnya dengan penerimaan harga belian sebanyak USD126 juta (RM514 juta) pada 24 April lalu.

Peguam Negara Tommy Thomas dalam kenyataannya hari ini, pemiilikan fizikal kapal itu diserahkan kepada anak syarikat Genting Malaysia Berhad pada 25 April lalu.

“Penyempurnaan dan penyelesaian proses jualan kehakiman ini menuruti sepenuhnya syarat jualan Syerif dan sebahagian daripada perintah Mahkamah Admiralti yang dibuat pada 3 April lalu,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM15.5 juta dibelanjakan untuk menahan dan menyelenggarakan kapal layar mewah itu selama sembilan bulan sehingga 30 April lalu sebelum diserahkan kepada anak syarikat Genting Malaysia.

“Berikut adalah perincian perbelanjaan. Kira-kira RM407,000 dibelanjakan untuk caj berlabuh bermula Ogos sehingga November 2018 iaitu ketika Equanimity berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.

“Ia sebelum kapal itu dialihkan ke Pangkalan Tentera Laut di Langkawi. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bermurah hati membenarkan Equanimity untuk berlabuh di pangkalan tenteranya tanpa sebarang caj dari November 2018 sehinggalah kapal diserahkan kepada pembeli pada 25 April lalu, kami berterima kasih berhubung perkara ini,” katanya.

Tambah Tommy, hampir RM12.7 juta dibelanjakan untuk kos pengoperasian bagi menyelenggara Equanimity sepanjang kapal tersebut ditahan selama sembilan bulan.

“Kos penyelenggaraan ini termasuk yuran agensi untuk ejen tempatan, yuran pengurusan untuk syarikat pengurusan profesional kapal layar besar, gaji untuk semua anak kapal profesional dan insurans termasuk makanan dan bekalan lain yang diperlukan.

“Selain itu, ia juga untuk bahan ganti, perkakas dan perkhidmatan yang diperlukan untuk kerja pembaikan dan penyelenggaraan Equanimity,” katanya.

Tommy berkata, lebih kurang RM400,000 dibelanjakan untuk mendapatkan perkhidmatan penilai dan pentaksir yang bereputasi baik dan terkemuka bagi mentaksir nilai dan perkakas milik kapal itu.

Sementara itu, berhubung bayaran peguam, Tommy berkata, peguam utama, S Sitpah mengendalikan kes ini secara pro bono (percuma).

“Kira-kira RM 1.6 juta dibelanjakan untuk yuran guaman bagi Tetuan Joseph & Partners selaku peguam cara yang mewakili Kerajaan Malaysia dan Kumpulan Syarikat 1MDB.

“RM360,000 untuk yuran guaman bagi Ong Chee Kwan dan RM40,000 untuk mendapatkan nasihat guaman asing yang diberikan oleh Tetuan Holman Fenwick Willan.

“Semua invois disertakan dengan lembaran masa yang terperinci serta membutirkan setiap tugas yang dilaksanakan bagi setiap jam dicaj,” katanya.

Menurut Tommy, proses bayaran untuk penyelenggaraan dan pemeliharaan Equanimity semasa dalam tahanan, melalui proses saringan dan kelulusan yang berlapis.

“Pasukan guaman dan pasukan PWC (yang membantu Kerajaan dalam pengurusan hal pengoperasian 1MDB) bertindak selaku lapisan saringan yang pertama. Selepas perbelanjaan diluluskan, invois akan dikemukakan ke Jabatan ini untuk saringan kedua dan selepas itu oleh Syerif Mahkamah Admiralti.

“Hanya selepas diluluskan di ketiga-tiga peringkat barulah invois ini dikemukakan kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk kelulusan pembayaran,” katanya.

Menurut Tommy, jumlah sebanyak RM15.5 juta ini bukan jumlah yang muktamad.

“Bagaimanapun, kami yakin bahawa perbelanjaan yang masih belum dibayar jumlahnya adalah jauh lebih kecil.

“Secara relatifnya, jumlah ini, bersamaan dengan kira-kira USD3.75 juta, adalah kecil untuk semua perkhidmatan yang diberikan oleh semua pihak selama sembilan bulan,” katanya yang turut menyatakan tiada komisen perlu dibayar kepada broker kerana jualan itu dirundingkan secara terus.

Menurutnya, jika kapal itu ditahan di tempat lain di dunia ini, kosnya mungkin boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda lebih besar.

Berita berkaitan

Genting beli Equanimity RM514 juta

Equanimity dijual tak kurang RM543 juta

Equanimity sudah tiada di Langkawi

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 4:46pm
d