mutakhir

RM42 juta masuk ke akaun Najib

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah

PENGURUS Affin Bank cawangan The Curve, Noorhayati Mohd Yunus memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bahawa terdapat pemindahan wang berjumlah RM42 juta dari Ihsan Perdana Sdn Bhd ke dalam dua akaun milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mengesahkan bahawa pemindahan wang itu berdasarkan penyata akaun Affin Bank atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015.

“Tiga pemindahan wang dari akaun Affin bernombor 106180001108 itu ialah RM27 juta dan RM5 juta pada 26 Disember 2014, serta RM10 juta pada 10 Februari 2015.

“Saya merujuk kepada borang Permohonan Kiriman Wang dan mengesahkan bahawa semua wang itu di masukkan ke dalam dua akaun AmPrivate Banking 1MY dan MY (milik Najib),” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Sulaiman Kho Kheng Fuei.

Noorhayati berkata borang itu ditandatangani oleh kedua-dua penanda tangan yang diberi kuasa iaitu Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Datuk Abdul Aziz Ismail bagi pihak Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Terdahulu, Noorhayati mengesahkan bahawa syarikat Ihsan Perdana atau nama asalnya Gem Horizon Sdn Bhd mempunyai tiga akaun di Affin Bank dan dua daripadanya masih aktif sehingga kini.

“Akaun Gem Horizon Sdn Bhd dibuka pada 5 Ogos 2011, manakala dua akaun lagi atas nama Ihsan Perdana pada 5 Januari 2012 dan 1 Jun 2012.

“Pada 24 Oktober 2011, Gem Horizon ditukar kepada nama Ihsan Perdana. Saya mengesahkan dokumen ini diterima daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd bersama-sama permohonan syarikat untuk membuka akaun di Affin Bank pada 5 Januari 2015,” katanya.

Ihsan Perdana adalah anak syarikat yang mengendalikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk SRC International Berhad.

Sementara itu, Noorhayati memberitahu mahkamah bahawa wang berjumlah RM50 juta dimasukkan ke dalam akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd secara berperingkat antara 2014 dan 2015.

“Saya merujuk kepada penyata akaun atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015.

“Saya mengesahkan kemasukan wang berjumlah RM40 juta pada 24 Disember 2014, RM5 juta pada 5 Februari 2015 dan RM5 juta pada 6 Februari 2015,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Sulaiman Kho Kheng Fuei.

Ketika menjawab soal balas peguam Farhan Read yang mewakili Najib, wanita itu mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada beberapa kali merakam kenyataannya bagaimanapun tidak ingat berapa kali.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok pagi.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 5:08pm
d