mutakhir

`Ada gaji terakhir saya'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LELAKI merayu kepada pasangan dipercayai suami isteri untuk memulangkan semula dompetnya yang diambil selepas tercicir di sebuah pasar raya di Bandar Tun Razak, hari ini.

Syazwan Rafiq Rahizad, 31, berkata, dompet berkenaan mengandungi wang tunai tidak sampai RM100, kad perakuan perkahwinannya serta kad ATM dengan akaunnya mengandungi wang gaji terakhirnya sebelum diberhentikan kerja bulan lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi ketika dia membeli barang keperluan untuk berniaga di bazar Ramadan.

“Dalam dompet itu tiada banyak wang tetapi saya memerlukan kad ATM serta dokumen lain yang berada di dalamnya.

“Sebabnya dalam kad ATM itu hanya ada wang daripada gaji terakhir yang saya terima selepas diberhentikan kerja bulan lalu.

“Hanya itu saja wang yang saya ada untuk digunakan sebagai modal berniaga di bazar Ramadan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Syazwan berkata, dia hanya menyedari dompetnya tercicir ketika beredar dari pasar raya berkenaan sebelum membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan pengurusan pasar raya terbabit.

“Sebaik meneliti rakaman CCTV, dapat dilihat dengan jelas seorang wanita yang bersama seorang lelaki serta seorang kanak-kanak dipercayai pasangan suami isteri mengambil dompet saya yang tercicir itu.

“Buat masa ini, saya belum lagi merancang untuk membuat laporan polis kerana berharap individu berkenaan memulangkan semula dompet berkenaan.

“Mungkin jika sehingga esok masih tiada yang tampil, barulah saya akan membuat laporan polis bersama bukti rakaman CCTV kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 5:36pm
d