mutakhir

MAIWP agih 1,450 pek berbuka puasa sehari

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

SEBANYAK 1,450 bungkus makanan berbuka puasa diagihkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada golongan asnaf setiap hari.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee berkata, MAIWP akan melakukan pengagihan berkenaan di 10 lokasi sepanjang Ramadan, bermula hari ini.

“Agihan itu akan dilakukan di Pusat Agihan Zakat (PAZA) Cawangan Bukit Bintang iaitu di UTC Pudu Sentral, PAZA Cawangan Titiwangsa iaitu UTC Keramat Mall, PAZA Cawangan Lembah Pantai, PAZA Cawangan Bandar Tun Razak, PAZA Cawangan Batu, PAZA Cawangan Setiawangsa, PAZA Cawangan Seputeh, PAZA Cawangan Segambut, PAZA Cawangan Wangsa Maju dan Rumah Transit Perantaraan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Jalan Sultan Azlan Shah.

“MAIWP memperuntukkan RM378,450 bagi tujuan agihan berkenaan dan ia dilakukan kerana tidak mahu golongan asnaf berasa terpinggir, sebaliknya kita mahu mereka gembira sepanjang Ramadan ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Agihan Makanan Berbuka Puasa Kepada Asnaf 2019 di UTC Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan, MAIWP melakukan sumbangan kepada Tabung Kebajikan dan Pesakit Hospital berjumlah RM1.35 juta.

Katanya, bantuan Ihya Ramadan kepada masjid dan surau sebanyak RM8.65 juta dan bantuan Aidilfitri kepada asnaf berjumlah RM12.68 juta akan dilakukan.

“Kami menyampaikan Bantuan Galakan Hafaz al-Quran kepada 269 penerima membabitkan perbelanjaan sebanyak RM745,500,” katanya.

Sementara itu, gelandangan yang menerima makanan berkenaan, Salehin Abd Rahman, 54, berkata, sumbangan juadah berbuka menyebabkan dirinya berasa dihargai.

Gelandangan berasal dari Singapura itu berkata, dia yang baru tiga hari berada di ibu kota pada mulanya berasa sedih kerana tiada juadah untuk berbuka.

“Tapi apabila ada majlis begini, saya berasa dihargai,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 8:35pm
d